Badan Pimpinan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Johor menegaskan sokongan penuh kepada Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk terus memimpin parti serta Perikatan Nasional (PN).
Pengerusinya, Datuk Dr. Sahruddin Jamal berkata, kepimpinan Muhyiddin yang berwibawa dan berpandangan jauh diyakini mampu mengemudi parti menghadapi cabaran semasa.
“Bersatu Johor berdiri teguh menyatakan sokongan penuh kepada YB Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk terus memimpin parti serta PN. Kami yakin beliau mampu menyelesaikan polemik yang berlaku dalam parti,” katanya dalam kenyataan pada Selasa.
Sahruddin yang juga bekas Menteri Besar Johor menegaskan isu membabitkan Ahli Parlimen Tasek Gelugor, Datuk Wan Saiful Wan Jan wajar ditangani segera oleh Lembaga Disiplin parti.
Menurut beliau, Bersatu sebagai organisasi politik berteraskan prinsip ketertiban dan tataetika tidak boleh memandang ringan sebarang pelanggaran disiplin atau tindakan yang menjejaskan imej parti.
“Lembaga Disiplin hendaklah mengambil langkah sewajarnya tanpa lengah agar keyakinan ahli dan rakyat terhadap ketegasan serta kewibawaan parti terus terpelihara,” ujarnya.
Dalam kenyataan sama, beliau menekankan permasalahan dalaman perlu diselesaikan melalui mesyuarat dan saluran rasmi, bukan secara terbuka di media.
“Bawa isu dalaman secara terbuka hanya akan mengeruhkan keadaan, melemahkan perpaduan, serta membuka ruang kepada pihak lawan untuk mengambil kesempatan,” katanya.
Beliau turut menyeru semua pimpinan dan ahli di setiap peringkat agar kekal fokus kepada perjuangan parti, memelihara kesatuan serta tidak terjebak dengan tindakan yang boleh melemahkan parti.
Terdahulu, pada Isnin, Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu, Datuk Wan Saiful Wan Jan menegaskan akuan bersumpah (SD) yang dikumpulkan membabitkan 120 ketua bahagian parti bukan bertujuan mendesak Muhyiddin berundur sebagai presiden. Sebaliknya, menurut beliau, ia hanya untuk menyokong MPT memberi mandat kepada Muhyiddin menyusun pelan peralihan parti.
Selain Wan Saiful, tiga pemimpin lain yang turut dipanggil ialah Ketua Bahagian Ampang, Mohd Isa Saidi; Ketua Bahagian Sepang, Datuk Suhaimi Mohd Ghazali; dan Ketua Bahagian Ipoh Timor, Muhammad Fadhli Ismail. Mereka didakwa terlibat dalam pengumpulan SD bagi mencadangkan transisi kepimpinan parti kepada Timbalan Presiden, Datuk Seri Hamzah Zainudin.

