“Kapal kami sangat banyak susu formula. Benda pertama saya nak buat apabila tiba adalah bancuh susu dan suapkan untuk bayi yang sedang kelaparan di Gaza.”
Itu luahan Pengasas Cinta Salam Malaysia (CSM), Ahmad Musa Al-Nuwayri Kamaruzaman, salah seorang sukarelawan Malaysia yang menyertai misi Global Sumud Flotilla (GSF) ke Gaza.
Ahmad Musa berkata, beliau turut akan menggunakan kemahiran berbahasa Arab sebaik tiba di Gaza untuk menyampaikan mesej solidariti rakyat Malaysia.
“Saya juga boleh berbahasa Arab. Apabila sampai sahaja, saya nak beritahu rakyat Gaza bahawa walaupun Malaysia jauh, kita semua peduli tentang saudara kita di sana,” katanya ketika dihubungi Kosmo! hari ini.
Berada di Zon Kuning
Menurutnya, kapal yang dinaiki iaitu ALMA telah memasuki zon kuning kira-kira pukul 9 malam waktu Malaysia, semalam. Zon tersebut adalah kawasan berjaga-jaga dengan tahap ancaman lebih tinggi.
“Zon kuning adalah zon berjaga-jaga. Tahap ancaman juga lebih tinggi daripada mana-mana pihak yang mahu sabotaj,” jelasnya.
Beliau menambah, semua peserta sudah bersiap siaga menghadapi sebarang kemungkinan, termasuk meletakkan kasut di tepi sebelum tidur agar mudah dipakai serta memastikan beg kecemasan (grab bag) sentiasa berada di tangan.
“Dalam grab bag ada dokumen penting seperti pasport, makanan ringan seperti bar tenaga serta ubat-ubatan. Dari sudut latihan juga akan lebih kerap dilakukan. Night watch (pemerhatian malam) pula kekal tiga orang setakat ini,” katanya.
Bekalan Cukup, Perasaan Bercampur Baur
Ahmad Musa memaklumkan bekalan makanan di atas kapal mencukupi, namun perasaan bercampur baur turut menyelubungi semua peserta.
“Macam-macam perasaan ada, teruja, tak sabar, risau pun ada juga,” katanya sambil berharap agar misi kemanusiaan itu selamat tiba di Gaza pada Khamis ini.
Beliau merupakan salah seorang daripada 34 sukarelawan Malaysia yang menyertai misi GSF bagi menyalurkan bantuan makanan dan ubat-ubatan kepada rakyat Gaza.
Sebelum ini, beberapa kapal misi dilaporkan rosak akibat serangan dron oleh rejim Zionis, namun kesemua penumpang dilaporkan selamat tanpa sebarang kecederaan.