Beberapa Jam Selepas Lancar, Pembeli Mengadu iPhone 17 Ada Kesan Calar

Hanya beberapa jam selepas dilancarkan, telefon pintar terbaharu keluaran Apple, iPhone 17, sudah menerima rungutan pembeli mengenai kesan calar pada model Pro dan Pro Max.

Pembeli gajet di seluruh dunia, termasuk Hong Kong, London dan New York, sanggup beratur panjang pada Jumaat bagi mendapatkan iPhone 17, namun sebahagian pelanggan mendapati beberapa model pameran sudah tercalar walaupun baru dipamerkan.

Bloomberg melaporkan, varian biru gelap iPhone 17 Pro dan Pro Max paling ketara menunjukkan kesan calar di kedai Apple di Hong Kong, Shanghai dan London.

Manakala, iPhone Air berwarna hitam turut dikesan mudah tercalar.

Peranti itu merupakan reka bentuk semula terbesar Apple dalam beberapa tahun, menggunakan kerangka aluminium dengan kemasan belakang yang dipromosikan sebagai lebih tahan calar.

Bagaimanapun, bahan aluminium diketahui mudah tercalar, terutama pada peranti berwarna gelap.

Di China, pengguna mula berkongsi gambar kesan calar di media sosial pada hari pelancaran kelmarin, dengan hashtag berkaitan meraih lebih 40 juta tontonan di Weibo.

Ia bukan kali pertama Apple berdepan situasi itu, apabila rungutan sama turut berlaku terhadap model iPhone 5, iPhone 7, bahkan isu ‘bengkok’ pada iPhone 6.

Walaupun berdepan kritikan awal, iPhone 17 tetap mencatatkan permintaan tinggi, khususnya model Pro.

Stok di kedai fizikal yang terhad, memaksa kebanyakan pelanggan membuat pesanan dalam talian dengan tempoh menunggu sehingga empat minggu, termasuk di pasaran utama seperti Australia, New Zealand, China dan Singapura.

Pelancaran iPhone 17 dilihat penting buat Apple dalam mengekalkan momentum perniagaan, ketika syarikat itu berdepan cabaran melancarkan ciri kecerdasan buatan (AI) yang lebih kompetitif.

Artikel Berkaitan

Artikel Popular