”Beberapa Dron, Objek Dijatuhkan. Namun Kami Tak Gentar” – Kru Flotilla Global Sumud

Konvoi kemanusiaan Flotilla Global Sumud yang dalam misi menuju ke Gaza mendakwa mereka diserang oleh beberapa dron tidak dikenali ketika berlayar di perairan berhampiran Greece, lewat malam Selasa.

Dalam kenyataan rasmi yang dikeluarkan, penganjur flotilla menyatakan kru mendengar sekurang-kurangnya 10 letupan, selain menyaksikan objek dijatuhkan dari udara serta mengalami gangguan komunikasi radio. “Beberapa dron, objek yang dijatuhkan, komunikasi diganggu dan letupan didengar dari beberapa buah kapal. Kami menyaksikan sendiri operasi psikologi ini. Namun, kami tidak gentar,” kata kenyataan itu.

Seorang aktivis hak asasi manusia dari Jerman, Yasemin Acar, menegaskan bahawa mereka hanya membawa bantuan makanan dan ubat-ubatan untuk rakyat Gaza. “Kami tidak bersenjata. Kami tidak mengancam sesiapa. Sebaliknya, Israel yang membunuh ribuan orang dan menyebabkan seluruh populasi kebuluran,” katanya dalam video yang dimuat naik ke media sosial.

Dalam rakaman lain, Acar turut mendakwa 15 hingga 16 dron berlegar di udara, manakala komunikasi radio diganggu dengan muzik kuat dimainkan secara tiba-tiba. Satu rakaman video yang dikongsi di laman Instagram rasmi flotilla menunjukkan letupan dari kapal Spectre pada jam 1:43 pagi waktu tempatan.

Seorang lagi aktivis dari Brazil, Thiago Avila, mendakwa empat kapal disasarkan dron yang melepaskan objek ke arah mereka, sebelum satu lagi letupan kedengaran di latar belakang.

Flotilla Global Sumud yang berlepas dari Barcelona awal bulan ini membawa misi memecah sekatan Israel ke atas Gaza. Konvoi itu melibatkan 51 kapal, yang sebahagian besarnya kini dilaporkan berada berhampiran pulau Crete, Greece.

Artikel Berkaitan

Artikel Popular