Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Hulu Klang, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali menafikan dakwaan kononnya beliau berhasrat meletakkan jawatan sebagai Ketua Pembangkang Selangor.
Spekulasi itu tercetus selepas tersebar mesej dalam kumpulan WhatsApp dipercayai melibatkan ADUN Perikatan Nasional (PN) Selangor, tengah malam tadi. Mesej berkenaan mendakwa Azmin mahu melepaskan jawatan berkuat kuasa 1 Oktober ini serta meminta 21 ADUN lain membincangkan calon pengganti sebagai persediaan Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) akan datang.
Namun, mesej tersebut dilaporkan dipadam selepas mendapat reaksi daripada beberapa ADUN termasuk wakil Pas Paya Jaras, Datuk Dr. Abdul Halim Tamuri yang mencadangkan perkara itu dibincangkan terlebih dahulu.
Ketika dihubungi, Azmin menegaskan dakwaan berkenaan tidak benar sama sekali dan meminta khabar angin itu dihentikan.
“Tidak benar. Hentikan khabar angin. Saya always optimistik. Kita usaha sedaya upaya. Rakyat mesti dibantu.
“Saya bersyukur dapat berkhidmat di Selangor kerana kerjasama dan ikatan di antara Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan Pas amat mantap. Kami akan terus berusaha sedaya upaya, selebihnya kita serahkan kepada Allah SWT,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Desas-desus itu bagaimanapun menimbulkan kekecohan dalam kalangan ADUN PN sehingga khabarnya satu mesyuarat tergempar dijadualkan malam ini. Keadaan tersebut turut menimbulkan kebimbangan akan melemahkan persiapan PN, khususnya antara Bersatu dan Pas, menjelang Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16).