Pas menyasarkan untuk menguasai tiga lagi negeri pada pilihan raya akan datang sekali gus mengukuhkan kedudukan Perikatan Nasional (PN) termasuk di peringkat Parlimen.
Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang berkata, Pahang, Perak dan Selangor antara negeri yang berada dalam radar parti itu di samping melonjakkan pencapaian di negeri selatan dan Sabah.
“Dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), Pas telah mencapai kejayaan yang terbesar sejak penubuhannya apabila berkuasa memerintah empat kerajaan negeri dan mendapat jumlah terbesar Ahli Parlimen dibandingkan dengan parti lain.
“Maka, kita wajib mempertahankan Dewan Undangan Negeri (DUN) dan Parlimen yang telah berjaya. Kelantan, Terengganu, Kedah dan Perlis yang telah dikuasai oleh Pas dan PN ialah ‘Negeri Pangkalan’ yang wajib dipertahankan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucaptama Muktamar Tahunan Pas ke-71 di Kompleks Pas Kedah, Kota Sarang Semut di sini, hari ini.
Mengulas lanjut, ujar Abdul Hadi, sayap Pemuda dan Muslimat Pas bertanggungjawab untuk mengekalkan sokongan anak muda dalam PRU16 dan perlu agresif menggerakkan program yang dekat dengan jiwa golongan itu merentasi batas politik dan kaum.
“Medan pertemuan perlu dipelbagaikan agar kelompok penting ini dapat didekatkan dengan perjuangan Islam, sekali gus mengukuhkan sokongan menjelang pilihan raya.
“Pemuda dan Muslimat juga hendaklah menonjolkan lebih ramai tokoh yang menjadi suara rakyat dan ikon kepada anak muda.
Mesti terhadapan dalam memperjuangkan isu masyarakat yang mampu mempengaruhi arus pemikiran dan membimbing generasi muda yang semakin pantas berubah,” katanya.
Menurut beliau, kelompok pengundi muda dan wanita itu merupakan gelanggang sebenar yang akan menentukan kemenangan Pas dalam PRU16.
Sementara itu kata Abdul Hadi, Dewan Himpunan Pendukung PAS (DHPP), Lajnah Perpaduan Nasional dan Lajnah Dakwah pula memikul peranan penting untuk menembusi kawasan majoriti bukan Islam dan undi penentu di kawasan majoriti Islam.
Katanya, pendekatan itu mesti disusun rapi dan berimpak tinggi, sama ada melalui keterlibatan dalam kerajaan negeri ataupun membuktikan jaminan hak beragama kepada mereka tidak akan tergugat di bawah kepimpinan Pas.-UTUSAN

