Seorang mudir pondok pengajian agama di Kelantan yang dikenali sebagai Abuya bakal berdepan enam lagi pertuduhan berkaitan jenayah seksual terhadap remaja lelaki dalam masa terdekat.
Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd. Yusoff Mamat berkata, suspek yang berusia 46 tahun itu akan didakwa di Mahkamah Sesyen sebaik sahaja siasatan dan proses pendakwaan dilengkapkan.
Katanya, polis menahan semula suspek setelah menerima aduan baharu daripada seorang lagi mangsa lain yang berusia belasan tahun di lokasi sama.
“Dalam masa terdekat enam lagi pertuduhan akan dibuat terhadap suspek selepas ini. Siasatan dijalankan mengikut Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebatan jika disabit kesalahan,” katanya selepas Perhimpunan Bulanan di Ibu pejabat Polis Kontijen (IPK) Kelantan, di sini, hari ini.
Mohd Yusoff berkata, pada minggu lalu, suspek sudah berdepan dengan tujuh pertuduhan di Mahkamah Sesyen Pasir Mas membabitkan kes amang seksual terhadap seorang pelajar lelaki selain pemilikan bahan lucah yang dijumpai di dalam telefon bimbit milik suspek.
“Bukan itu sahaja, suspek turut berdepan dengan dua lagi pertuduhan di Mahkamah Sesyen Kuala Terengganu pada Isnin lalu atas kesalahan sama membabitkan seorang remaja lelaki berusia 14 tahun.
“Difahamkan suspek mempunyai pengaruh besar dalam kalangan pengasas perniagaan di negeri ini selain terdapat pengikut tersendiri di media sosial,” katanya.