Penerbit terkenal, A. Aida, baru-baru ini berdepan detik getir apabila terpaksa dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) selepas mengalami komplikasi serius hingga jantungnya berhenti berdegup sebanyak lapan kali.
Perkara itu dikongsikan bekas suaminya yang juga vokalis kumpulan Spring, Ameng, menerusi temu bual bersama portal F8Buzz.
Menurut Ameng, beliau menerima panggilan panik daripada anak sulung mereka, Wan Az Aleesa, yang ketika itu menangis teresak-esak.
“Anak saya telefon sambil menangis. Saya ingatkan kucing dia mati sebab sebelum itu dia ada kongsi di media sosial tentang kucingnya yang sakit. Rupanya mama dia yang sakit.
“Dia beritahu doktor suruh baca Yasin, jantung ibunya sudah berhenti sebanyak lapan kali. Saya terus ke hospital bertemu anak saya,” katanya.
Empat Hari Koma
Ameng berkata, pada mulanya beliau menyangka bekas isterinya itu terkena serangan jantung, namun doktor menjelaskan A. Aida mengalami komplikasi selepas menjalani pembedahan lutut.
“Rupanya komplikasi, mungkin ada kaitan dengan makanan atau kesan selepas pembedahan. Itu semua di luar kemampuan manusia, semuanya atas kehendak Tuhan,” jelasnya.
Tambahnya, keadaan A. Aida ketika itu sangat kritikal sehingga beliau dan keluarga melakukan bacaan Yasin serta solat hajat.
“Alhamdulillah selepas empat hari koma, pagi tadi saya dapat panggilan anak memaklumkan ibunya sudah sedar. Yang paling penting bila sedar, dia masih kenal anaknya. Itu tanda otaknya berfungsi.
“Cuma dia belum boleh bercakap kerana ada tiub dalam mulut. Insya-Allah, dalam masa terdekat mungkin dipindahkan ke wad biasa,” katanya penuh syukur.
Insiden Selepas Pembedahan
Difahamkan, A. Aida rebah selepas menjalani rawatan fisioterapi, hanya dua hari selepas menjalani pembedahan pada kedua-dua lututnya.
Kisah ini mengejutkan ramai peminat dan rakan selebriti yang turut mendoakan kesembuhan penerbit berusia 53 tahun itu.