Pendidikan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) terus membuktikan keberkesanannya apabila graduan Kolej Komuniti dan Politeknik mencatat kadar bekerja tinggi iaitu 98.8 peratus bagi tahun lalu.
Perkara itu didedahkan melalui Kajian Pengesanan Graduan TVET (SKPG TVET) yang dijalankan Unit Kebolehpasaran Graduan, Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT), membabitkan lebih 38,000 graduan dari kedua-dua institusi.
Ketua Setiausaha KPT, Datuk Dr. Anesee Ibrahim berkata, kadar respons kajian melebihi 92 peratus dengan majoriti graduan bekerja atau menyambung pengajian manakala sebahagian kecil belum bekerja atas faktor seperti menunggu tawaran, isu kesihatan atau komitmen keluarga.
Beliau berkata, kebolehan graduan TVET untuk menyumbang secara langsung kepada pasaran kerja membuktikan keberkesanan kurikulum dan kesesuaian latihan yang diterima, sekali gus menjadikan laluan pendidikan itu semakin relevan dengan kehendak industri semasa.
“Data kajian menunjukkan graduan Kolej Komuniti paling banyak menyertai sektor penginapan dan makanan (19.3 peratus) diikuti perkhidmatan lain (18.3 peratus) dan pembuatan (12.5 peratus). Sementara itu, graduan Politeknik pula dominan dalam sektor perkhidmatan (19.5 peratus), pembuatan (14.8 peratus) dan pembinaan (9.6 peratus).
“Sebahagian besar graduan menceburi pekerjaan dalam kategori mahir dan separuh mahir, manakala hanya sebilangan kecil berada dalam sektor berkemahiran rendah. Dalam masa sama, sebanyak 45.7 peratus graduan Politeknik dan 6.6 peratus graduan Kolej Komuniti memilih untuk menjadi usahawan, mencerminkan pertumbuhan semangat keusahawanan dalam kalangan lepasan TVET,” katanya sempena Majlis Konvokesyen Politeknik dan Kolej Komuniti Zon Timur 2025 di Dewan Al Muktafi Billah Shah , Universiti Sultan Zainal Abidin (Unisza), di sini. Hadir sama, Ketua Pengarah Politeknik dan Kolej Komuniti,Datuk Dr Zahari Ismail.
Dr. Anesee berkata, kerajaan melalui KPT terus memberi tumpuan kepada pembangunan dan pemantapan institusi TVET sebagai teras kepada pembinaan tenaga kerja mahir negara.
Berdasarkan kajian yang dijalankan itu juga, bidang pengajian yang menunjukkan kadar bekerja paling tinggi ialah teknologi pertanian (99.6 peratus), pelancongan dan hospitaliti (99.2 peratus), pengkomputeran (99.2 peratus) serta kejuruteraan elektrik dan mekanikal (98.8 peratus).
Mengikut peringkat pengajian pula, graduan diploma Kolej Komuniti mencatat kadar bekerja tertinggi iaitu 99.5 peratus manakala di Politeknik, graduan ijazah sarjana muda mendahului dengan kadar 99.4 peratus diikuti diploma dan sijil kemahiran khas, masing-masing 98.8 peratus. – UTUSAN