BN Nafi Keluar Kenyataan Tidak Benar Empat Individu Tampil di PRK Nenggiri

KUALA LUMPUR: Barisan Nasional (BN) menafikan telah mengeluarkan kenyataan yang melarang mana-mana Unit Daerah Mengundi (UDM) BN daripada menjemput Timbalan Presiden PKR, Rafizi Ramli, serta tiga individu lain untuk berucap sepanjang Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri, Kelantan.

Menurut BN dalam hantaran di laman Facebook rasmi mereka hari ini, kenyataan palsu tersebut adalah mainan politik yang bertujuan memecah belah perpaduan dalam kerajaan.

“Kenyataan media rasmi hanya akan disiarkan di laman Facebook rasmi Barisan Nasional. Diharap semua tidak termakan dengan mainan politik seperti ini tiap kali pilihan raya berlangsung. Semoga semua pihak terus bertanggungjawab untuk tidak menyebarkan berita palsu seperti ini lagi,” kata BN dalam kenyataan itu.

Kenyataan palsu bertarikh 24 Julai yang menggunakan nama Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, itu menyenaraikan empat individu yang kononnya tidak dibenarkan tampil di PRK Nenggiri, termasuk Rafizi Ramli, Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO Datuk Lokman Noor Adam, Ketua Penerangan Pemuda UMNO Bahagian Jeli Wan Mahussin Wan Zain, dan pempengaruh Wan Hadi.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) telah menetapkan hari penamaan calon dan pengundian awal PRK Nenggiri masing-masing pada 3 Ogos dan 13 Ogos, manakala hari mengundi adalah pada 17 Ogos.

Artikel Berkaitan

Artikel Popular