GUA MUSANG: Barisan Nasional (BN) akan menjawab segala fitnah dan tohmahan pihak pembangkang mengenai isu subsidi diesel sepanjang kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri bulan depan.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, menganggap pembangkang akan mengulangi isu sama seperti yang dibangkitkan dalam kempen PRK DUN Sungai Bakap sebelum ini. Namun, beliau yakin masyarakat di Gua Musang, terutamanya masyarakat Orang Asli, akan menerima penjelasan tentang isu subsidi diesel dengan rasional.
“Jentera BN akan memperjelaskan sebarang fitnah yang dibuat dan akan memperhebatkan penerangan berhubung isu tersebut,” kata Ahmad Zahid dalam sidang media selepas merasmikan Majlis Pecah Tanah Projek Membina dan Menyiapkan Jalan Perhubungan Desa di Kuala Betis serta Projek Mengganti Jambatan Batu 6, Nenggiri.
Pada 19 Jun lepas, Speaker DUN Kelantan, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah, mengumumkan kerusi DUN Nenggiri kosong selepas Mohd Azizi Abu Naim digugurkan keahlian oleh Bersatu pada 13 Jun.
Suruhanjaya Pilihan Raya telah menetapkan hari penamaan calon dan pengundian awal PRK DUN Nenggiri masing-masing pada 3 Ogos dan 13 Ogos, manakala hari mengundi pada 17 Ogos.