Malaysia Umum Strategi Semikonduktor Kebangsaan dengan Pelaburan $5.3 Bilion

Dengan pertelingkahan perdagangan antara Amerika Syarikat dan China yang memberi kesan kepada sektor pembangunan cip semikonduktor, Malaysia kini dilihat sebagai negara penting dalam industri ini. Hari ini, Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim mengumumkan Strategi Semikonduktor Kebangsaan. Kerajaan akan melaburkan sebanyak $5.3 bilion (~RM25 bilion) untuk melatih 60,000 jurutera semikonduktor dalam tempoh lima ke sepuluh tahun akan datang. Langkah ini bertujuan untuk meningkatkan jumlah pakar dan syarikat tempatan yang mahir dalam industri ini.

Menurut laporan Nikkei Asia, pelaburan ini akan disalurkan oleh syarikat dana kekayaan berdaulat seperti Khazanah Nasional. Dana ini akan digunakan untuk latihan dalam teknologi rekaan, pemasangan, pembungkusan, dan ujian cip semikonduktor, yang akan meningkatkan nilai Malaysia dalam sektor ini di persada antarabangsa.

Malaysia sudahpun dikenali sebagai destinasi syarikat-syarikat global seperti Intel, Micron, dan Infineon. Intel dan Infineon telah mengesahkan pelaburan masing-masing sebanyak $7 bilion dan $5 bilion untuk mengembangkan operasi mereka di Malaysia, manakala Micron membuka pusat pemasangan dan ujian cip di Batu Kawan pada penghujung 2023.

Dengan pengetahuan dan pengalaman sedia ada dalam industri ini, kerajaan berhasrat untuk menarik lebih banyak pelaburan dari syarikat pembangun cip semikonduktor dan pelaburan asing. Ini akan memanfaatkan rakyat Malaysia dengan teknologi dan pelaburan yang dibawa masuk, menjadikan negara ini sebuah hab pembangunan cip semikonduktor bertaraf dunia.

Artikel Berkaitan

Artikel Popular