Tukar duit raya merupakan satu tradisi biasa menjelang Hari Raya. Namun, ada beberapa perkara yang perlu kita ambil kira untuk memastikan tindakan ini tidak melibatkan unsur riba. Berikut adalah panduan singkat mengenai hukum dan cara yang sah dalam tukar duit raya:
Syarat-syarat Utama:
- Penyerahan Duit Terpakai dengan Duit Baharu: Pertukaran mesti berlaku dalam satu sesi atau majlis tanpa ada penangguhan. Jika ada penangguhan, ia dikategorikan sebagai riba nasa’.
- Pertukaran dengan Kadar yang Sama: Jumlah pertukaran hendaklah sama tanpa ada lebihan. Jika ada lebihan, ia dikategorikan sebagai riba fadhl.
- Riba’ an-Nasa’: Ia merupakan jual beli atau pertukaran 2 barangan riwabi yang sama jenis dan pertukaran tersebut dibuat secara tangguh (tidak sempurna dalam 1 masa).
- Riba al-Fadhl: Merupakan jual beli atau pertukaran antara 2 barangan ribawi yang sama jenis dengan berbeza kadar berat (jika dijual dengan timbang) atau kuantiti (jika dijual secara bilangan kuantiti).
Mari kita aplikasikan dua syarat di atas pada senario-senario di bawah:
Senario 1:
A mahu menukar duit raya sejumlah RM1000 daripada B.
A serahkan duit terpakai kepada B pada hari ini, kemudian B serahkan duit baharu pada keesokan harinya.
Hukum: Haram kerana berlaku riba nasa’ sebab ada penanggguhan (melainkan guna Senario 4).
Senario 2:
A mahu menukar duit raya sejumlah RM1000 daripada B.
B bersetuju dan mengenakan caj RM10 ke atas A.
Lalu A membayar RM1010 duit terpakai, dan B menyerahkan RM1000 duit baharu.
Hukum: Haram kerana berlaku riba fadhl sebab pertukaran dengan jumlah yang tak sama.

Senario 3:
A mahu menukar duit raya sejumlah RM1000 daripada B.
A mewakilkan C untuk menukarkan duit dengan B.
C sebagai wakil mengenakan caj sebanyak RM10 ke atas A.
A menyerahkan RM1010 kepada C, dan keesokannya C membayar RM1000 kepada B, dan B membayar RM1000 duit baharu kepada C.
C kemudian menyerahkan RM1000 duit baharu itu kepada A.
Hukum: Harus, kerana tidak berlaku riba. Kelewatan antara A dan C adalah kelewatan dalam bab wakalah (jadi wakil).
Manakala transaksi al-sarf berlaku antara B dan C tanpa penangguhan.
Lebihan RM10 juga adalah berlaku dalam bab wakalah sebagai upah wakil atas sebab A mengetahu dan bersetuju dengannya. Manakala dalam akad al-sarf tidak berlaku sebarang lebihan.
Senario 4:
Maslan ingin menukar duit raya sejumlah RM1000 daripada Bank XYZ.
Maslan mempunyai seorang kawan, bermama Awang yang bekerja di Bank XYZ tersebut.
Maslan menyerahkan duit RM1000 kepada Awang pada waktu pagi sebelum Awang pergi kerja.
Di Bank XYZ, Awang menukarkan duit Maslan di kaunter tukar duit raya.
Pada sebelah petang, Awang menyerahkan duit raya kepada kawannya Maslan.
Hukum: Tidak ada masalah sekiranya pertukaran duit raya oleh Awang di Bank XYZ berlaku secara tunai.
Ini kerana ketika Maslan menyerahkan duit kepada Awang, Awang bukan di atas kapasiti pegawai Bank, kerana tukaran duit raya di bank hanya berlaku di kaunter. Jadi ketika Maslan serah duit kepada Awang, ia adalah wakalah.

Senario 5:
A ingin menukar duit raya sejumlah RM1000 daripada B.
A meminta B datang ke tempatnya untuk membuat pertukaran.
B bersetuju dan meminta A membayar kos dia datang ke tempat A.
B lalu menaiki Grab dengan caj RM5.50 dan sampai ke tempat A, lalu berlaku pertukaran RM1000 duit terpakai dengan RM1000 duit baharu.
A membayar caj Grab sebanyak RM5.50 kepada B.
Hukum: Diharuskan, kerana bayaran caj Grab adalah kos sebenar yang dibayar oleh B untuk datang ke tempat A atas permintaan A.
Kesimpulan:
Sebagai penutup, jangan ambil mudah dalam perkara ini. Penting untuk memahami hukum hakamnya, terutamanya dalam soal caj yang dikenakan. Hindari riba agar terhindar dari dosa besar dan berperang dengan Allah SWT dan RasulNya.
Nota: Panduan ini adalah berdasarkan perkongsian daripada Ustaz Lariba dan disusun semula untuk memudahkan pemahaman. Semoga bermanfaat dan jauhi dosa riba.
Rujukan: disini