Hubungan Baik PH Dengan Tok Mat Permudah Rundingan Di Negeri Sembilan

PH yakin hubungan baik mereka dengan BN Negeri Sembilan sejak sekian lama akan mempermudah rundingan pembahagian kerusi menjelang pilihan raya negeri tidak lama lagi.

Setiausaha Agung DAP Anthony Loke berkata hubungan baik itu malah turut terjalin di antara Menteri Besar Negeri Sembilan Aminuddin Harun dengan Timbalan Presiden Umno Mohamad Hasan.

“Dulu dia (Aminuddin ) pun ahli Umno, jadi ada hubungan baik dengan Umno, dengan Tok Mat (Mohamad).

“Justeru saya berharap hubungan itu kita gunakan untuk berunding dengan baik.

“Kita di Negeri Sembilan memang budaya politiknya tidak pernah bergaduh, sebaliknya bersaing secara baik… dari dulu antara kerajaan dengan pembangkang kita tak bergaduh,” katanya kepada media hari ini.

Terdahulu Loke merasmikan Konvensyen DAP Negeri Sembilan di Serembah. Turut hadir Aminuddin.

Negeri Sembilan adalah satu daripada enam negeri yang perlu mengadakan pilihan raya dalam tempoh beberapa bulan akan datang selaras dengan kehendak undang-undang.

Terserah kepada negeri

Negeri lain yang perlu menjalani pilihan raya negeri (PRN) ialah Selangor, Pulau Pinang, Kedah, Kelantan dan Terengganu. Semua negeri terbabit tidak membubarkan dewan undangan negeri (DUN) masing-masing pada Nov tahun lalu serentak dengan pilihan raya umum.

Kali terakhir negeri terbabit mengadakan PRN ialah pada 9 Mei 2018. Sebelum ini PH dan BN bersaing antara satu sama lain sehinggalah kerajaan perpaduan dibentuk selepas PRU ke-15 pada Nov tahun lalu yang menyaksikan kedua-dua gabungan bekerjasama buat kali pertama.

Keadaan itu memerlukan PH dan BN perlu berunding khususnya mengenai pembahagian kerusi di negeri terbabit.

Mengulas lanjut isu itu Loke yang juga ahli parlimen Seremban menjelaskan pada dasarnya PH mencadangkan agar kedua-dua gabungan kekal bertanding di mana-mana kerusi yang sudah dimenangi mereka sebelum ini.

Dia juga yakin rundingan berkenaan mampu mencapai persetujuan bersama berdasarkan suasana kondusif yang ada di Negeri Sembilan.

“Apa pun kita bergantung kepada proses rundingan seperti yang saya katakan tadi, kita serahkan kepada kebijaksanaan menteri besar untuk berunding di peringkat negeri.

“Mengikut pengalaman saya dalam Majlis Presiden PH, biasanya kalau di peringkat negeri selesai (rundingan), maka selesailah masalah.

“Kami di peringat pusat akan endorse (perakui) saja,” katanya.

Sementara itu Aminuddin pula berkata BN perlu bersikap terbuka bagi menghadapi PRN dengan mempertahankan 16 daripada 36 kerusi DUN Negeri Sembilan.

Katanya ia adalah pendekatan yang akan memudahkan rundingan pembahagian kerusi di antara kedua-dua parti.

Menurut Aminuddin dalam konteks Negeri Sembilan tidak ada sebarang kerusi ‘kosong’ yang perlu dirundingkan bagi menentukan siapa yang wajar meletakkan calon bagi mencabar penyandang sama ada dari Bersatu atau PAS.

Untuk rekod dalam PRN pada 2018, tiada mana-mana calon dari Bersatu atau PAS memenangi kerusi di DUN Negeri Sembilan.

Daripada 36 kerusi yang ada dalam DUN negeri terbabit 20 dimenangi PH dan bakinya BN.

“Mudah bagi Negeri Sembilan (dari segi rundingan kerusi). Kami (PH) menang 20 kerusi DUN, dan kita harus menghormati mandat yang diberikan.

“Pada pendapat saya, ini akan membawa lebih keyakinan kepada rakyat daripada kita bergaduh sesama sendiri,” katanya.

Kepada soalan media, Aminuddin memberitahu: “Ya, (BN) perlu berlapang dada.”

Artikel Berkaitan

Artikel Popular