Menteri Besar dan Ketua Menteri enam negeri yang masih belum membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) bersetuju menetapkan dua minggu terakhir Jun tahun ini bagi memberi laluan Pilihan Raya Negeri (PRN).
Menurut Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari, keputusan tersebut diambil pada pertemuan kesemua pihak hari ini.
“Secara ringkas kami mencapai kata sepakat untuk mempertimbangkan pembubaran DUN masing-masing dalam dua minggu terakhir Jun tahun ini.
“Alhamdulillah kami berenam mengambil kesempatan minum petang di Kuala Lumpur sempena Mesyuarat Majlis Raja Raja yang bersidang dua hari ini,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Terdahulu, enam negeri tersebut iaitu Kedah, Pulau Pinang, Kelantan, Terengganu, Selangor dan Negeri Sembilan tidak mengadakan PRN serentak dengan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) November tahun lalu.
Amirudin berkata,persefahaman tersebut sudah pasti akan dimaklum serta dibincangkan di peringkat parti masing-masing sebelum dipersembah bagi tujuan perkenan Sultan, Yang Dipertuan Besar serta Tuan Yang Terutama Negeri masing-masing.
“Semoga persefahaman ini dapat mempermudahkan usaha rakyat untuk merayakan demokrasi kelak, InsyaAllah,” ujarnya.

